Seni khat/jawi ini merupakan seni tulisan yang mempunyai bentuk tulisan jawi yang sarat dengan makna, falsafah dan bentuk tulisannya. Cara menulisnya memerlukan kemahiran dan praktis untuk menghasilkan seni khat yang cantik. Beberapa jenis khat yang sering digunapakai dan mudah untuk dibaca iaitu:
1- Khat Thuluth
Khaligrafi ini dihasilkan oleh seorang wazir pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah. Tulisan kaligrafi Thuluth sangat ornamental, mempunyai banyak hiasan tambahan di tepi dan mudah untuk dibentik untuk memenuhi ruang yang tersedia. Bentuknya yang lebih kepada kurva(lenggok), dengan kepala meruncing membuatkan gaya ini banyak dipilih untuk digunakan sebagai ornamen senibina masjid, buku dan hiasan.
2- Khat Nasakh
Kaligrafi gaya Nasakh merupakan seni khat yang sering digunapakai oleh umat Islam, baik dari segi naskah keagamaan seperti kitab agama mahupun tulisan harian. Gaya Nasakh termasuk dalam gaya penulisan kaligrafi tertua kerana kaedah penulisannya dirumuskan secara sistematik oleh Ibnu Muqlah pada abad ke-10, dan ianya sagat terkenal digunakan untuk menulis mushaf Al-Quran hingga sekarang. Ciri-ciri hurufnya yang bersifat sederhana tanpa hiasan tambahan membuatkan penulis mudah untuk ditulis dan para pembaca mudah untuk membaca.
3- Khat Riq'ah
Kaligrafi ini merupakan hasil pengembangan kaligrafi gaya Nasakh dan Thuluth. Sebagaimana gaya tulisan Nasakh yang sering digunakan, ianya juga turut digunakan di dalam tulisan seharian. Riq'ah dikembangkan oleh penulis pada zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah, dan kebiasaannya digunakan untuk tulisan tangan biasa. Ciri-cirinya bersifat sederhana, tanpa baris membolehkan penulis menulis dengan cepat.
4- Khat Diwani
Kaligrafi ini dikembangkan oleh penulis, Ibrahim Munif. Kemudian, disempurnakan oleh Syeikh Hamdullah dan penulis pada zaman Khalifah Uthmaniyyah di Turki pada akhir abad ke-15 dan awal abad ke-16. Gaya ini digunakan untuk menulis kepala surat rasmi kerajaan. Ciri-ciri khat ini adalah bulat dan tidak berbaris. Keindahan tulisannya bergantung kepada permainan garisannya yang kadang-kadang pada huruf tertentu meninggi atau menurun. Model kaligrafi Diwani banyak digunakan untuk senibina dan sampul buku.
5- Khat Diwani Jali
Kaligrafi ini merupakan pengembangan gaya Diwani. Gaya ini diperkenalkan oleh Hafiz Usman, seorang penulis terkemuka pada zaman pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah di Turki. Gaya penulisan Diwani Jali pada asalnya mirip Diwani, tetapi ianya jauh lebih berseni, padat, dan terkadang bertitik. Berbeza dengan Diwani yang tidak berbaris, Diwani Jali ini sangat padat dengan baris dan hiasan. Baris yang penuh lebih ditujukan kepada keperluan untuk dekorasi dan tidak seluruhnya berfungsi sebagai tanda bacaan. Oleh sebab itu, gaya ini sukar untuk dibaca dengan sepintas lalu. Kebiasaannya, ia digunakan untuk aplikasi pada masjid atau barangan hiasan.
6- Khat Kufi
Kaligrafi ini banyak digunakan untuk penyalinan Al-Quran pada peringkat awal. Kerana itu, gaya Kufi ini adalah model penulisan paling tua antara semua gaya kaligrafi. Gaya ini pertama kali berkembang di Kota Kufah, Iraq, yang merupakan salah satu kota terpenting dalam sejarah peradaban Islam sejak abad ke-7M. Ianya mempunyai pelbagai cabang seperti Kufi Murabba' (segi empat), Kufi Fatimi, Kufi Mushaf (tulisan Al-Quran rasm Uthmani pertama) dan lain-lain. Ciri-cirinya merupakan khat yang bersegi dan mudah untuk dibentuk. Sebahagian Kufi memerlukan kepada kemahiran Geometri dan Matematik.
Comments
Post a Comment